Sememangnya Warung Hajjah Senah amat terkenal dengan kelazatan hidangan sarapan dan makanan tengaharinya. Maka tidak hairanlah orang ramai memilih warung tersebut sebagai tempat untuk berdiskusi sambil menjamu selera.
Ada yang berdiskusi tentang isu pengeboman di Syria, ada yang berborak mengenai harta karun di Pulau Nangka, ada yang berbincang tentang program pemboikotan barangan Israel yang dilancarkan oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini, malah ada yang membicarakan tentang kehebatan pasukan Kelantan atau The Red Warriors yang membelasah teruk pasukan Urawa Reds di peringkat saingan Piala AFC.
Namun, di sebalik kerancakan cerita-cerita kedai kopi itu, ada dua orang remaja sedang berborak tentang sesuatu penemuan aneh.
"Aliff, kau dengar cerita pasal Man Pulut tak?"
"Kenapa dengan dia? Elok je aku tengok, tiap-tiap petang main bola jugak." Aliff Asyraf menjawab sambil menghirup teh tarik yang dipesannya.
"Itu hari aku dengar cerita yang dia terserempak dengan satu bangkai lembu kat kebun getah hujung kampung tu."
"Bangkai lembu? Eh, ini tak boleh jadi ni, ini mesti kerja pengikut Ayoh Ping ni, diorang buat upacara diorang kat kampung kita ni, lepas tu korban manusia takde, diorang korbankan lembu pulak. Kahkahkah!" Aliff Asyraf cuba melawak. Dia sendiri buat lawak, dia sendiri yang ketawa.
"Alip, teh ni dengan muka kau tak jauh tahu? Aku simbah kat kau karang! Aku serius ni!"
"Hehe ok oklah. Habis tu, reportlah kat ketua kampung suruh buat rondaan, manalah tahu ada apa-apa ke."
"Aku ada terfikir yang ini kerja binatang buas, tapi lepas Man Pulut cerita kat aku dan bawak aku pergi tengok bangkai lembu tu, pelik sikitlah." Aniq menyatakan rasa hairan yang bersarang di kotak pemikirannya.
"Apa maksud kau?" Aliff cuba merungkai maksud disebalik kata-kata Aniq.
"Dekat tempat bangkai lembu tu banyak kesan tapak kaki kuda. Aku tahu bentuknya sebab dulu aku pernah ikut abang saudara aku jaga kandang kuda. Hairan jugak mana datang kuda dekat kampung kita ni. Lagi satu, takde kesan pergelutan dekat tempat tu, macam lembu tu diangkut dari tempat lain kemudian dimakan dekat situ." Aniq menjelaskan hasil dapatannya secara panjang lebar kepada Aliff Asyraf.
"Oh ya, lagi satu, yang ni maklumat confidential. Mari sini, dekat sikit." Aniq meminta Aliff agar mendekatinya supaya dia tidak perlu berkata dengan nada suara yang kuat hingga didengari orang lain. Sepertinya perkara itu agak sulit untuk diketahui oleh orang lain.
Aliff mendengar penjelasan Aniq dengan penuh tumpuan. Perkara ini kedengaran amat unik bagi penggemar perkara misteri sepertinya. Apakah agaknya binatang yang membuat onar di kampungnya? Aliff ingin melihat sendiri kawasan bangkai lembu itu, apakah benar ada kesan tapak kaki kuda di kawasan itu.
"Amacam?" Aniq berkata sambil mengukir senyuman kecil. Dia tahu perkara sebegini merupakan halwa telinga yang amat manis buat penggemar perkara misteri seperti Aliff.
"Niq, bawa aku pergi tengok tempat lembu tu, boleh?"
"Boleh je, lincah habiskan roti dengan teh tarik kau, habis bayar kita gerak."
Cepat-cepat Aliff Asyraf menghabiskan roti canai dan teh tariknya lalu membuat bayaran. Mereka berdua menaiki motosikal EX5 milik Aniq lalu meninggalkan warung yang masih dipenuhi para pelanggan itu. Perjalanan mereka mengharungi jalan kampung yang agak panjang diiringi aaliran air terusan yang tenang sambil dilambai-lambai oleh tumbuhan lalang menghijau yang menghampari bahu jalan tatkala dipuput oleh sang bayu.
Aniq memulas 'throttle'nya motosikalnya untuk menambah kelajuan agar lebih cepat sampai ke destinasi. Udara pada pagi itu begitu nyaman sekali. Persekitaran kampung yang masih belum terusik oleh pembangunan memelihara kehijauan dan keindahan flora kampung yang menjadi latar utama Kampung Pungguk.
Tidak lama kemudian, mereka tiba di lokasi. Suasana di kebun getah itu agak sunyi, hanya bunyi-bunyian serangga yang melatari landskap pada pagi itu. Aniq dan Aliff berjalan dengan berhati-hati kerana semak-samun di kebun itu memungkinkan kehadiran ular-ular berbisa.
Setelah berjalan beberapa meter, mereka tiba di lokasi bangkai lembu itu. Baunya yang hanyir dan busuk yang amat menusuk hidung menyebabkan mereka berdua dengan spontan menutup hidung dengan kolar baju masing-masing.
"Inilah dia Lip, kesan tapak kakinya." Aniq menunjukkan kesan tapak kaki kuda yang diceritakan di warung tadi. Kesannya memang merupakan kesan tapak kaki kuda. Meskipun dedaunan kering memenuhi ruang lantai bumi kebun itu, kesannya tetap tampak jelas dan dalam.
Aliff Asyraf meneliti kesan tapak kaki kuda terbut. Cepat-cepat Aliff mengeluarkan telefon pintarnya lalu mengambil gambar kesan-kesan tapak kaki itu. Aliff juga cuba mengikuti trend remaja terkini iaitu mengambil gambar sendiri atau dikenali sebagai 'selfie', namun Aniq pantas meluku kepalanya sebelum butang 'shutter' sempat ditekan.
"Aku takde kawan yang sakit mental, tahu?" Aniq berkata dengan tenang selepas meluku kepala Aliff.
Selesai urusan mereka di situ, mereka bergerak ke arah motosikal untuk pulang. Baru sahaja mereka berdua menaiki motoikal, mereka terdengar bunyi dengusan yang kuat dari tempat bangkai lembu itu.
Apabila mereka menoleh, mereka terlihat seekor kuda besar bertanduk berwarna hitam sedang merenung tajam ke arah mereka berdua, tubuhnya terlindung di sebalik sebuah pokok besar. Selama tiga minit pertentangan enam mata tanpa suara itu berlangsung. Kuda hitam itu masih tetap di tempatnya, ia seperti mahukan sesuatu dari mereka berdua.
Terkedu juga mereka berdua. Bagaimana seekor kuda boleh mempunyai sepasang tanduk? Mana mungkin unicorn sudah terlepas ke Nusantara.
"Bhai, kuda bertanduk bhai! Ambik gambor, ini kalau masuk FB ni confirm aku jadi 'hot' ni!" Aliff tiba-tiba menjadi teruja dengan kemunculan kuda aneh itu. Tak tahulah sama ada dia teruja sebab kuda atau teruja untuk menjadi popular di Facebook.
Sementara Aliff mengeluarkan telefon pintarnya, Aniq merasakan satu firasat bahawa kuda itu bukannya kuda biasa. Boleh jadi ia akan mencederakan mereka berdua.
Aniq turun dari motosikal lalu mengambil sebatang kayu lalu dilempar ke arah kuda itu bertujuan untuk menghalaunya. Bukanlah Aniq bermaksud untuk mengasari haiwan, tetapi dia cuba menghalau kuda itu kerana ia seperti mahu membahayakan mereka berdua.
Sangkaan Aniq meleset.