Kuda itu mengembangkan sepasang sayap!
Sayap itu dikembangkan sepenuhnya dan saiznya amat besar, cukup besar untuk menerbangkan kuda itu.
Terbeliak biji mata kedua-dua remaja itu melihat seekor kuda mengembangkan sepasang sayap yang tidak sepatutnya berada pada tubuh seekor kuda. Kuda itu meringkik sekali lagi lalu berlari ke arah mereka dengan sayap yang dikibas-kibaskan seolah-olah sedang mencari momentum untuk terbang.
Dalam keadaan genting itu, mereka berdua tiada masa untuk merasa kagum, tergopoh-gapah Aniq memusingkan kunci motor lalu menghidupkan enjin. Dari satu gear ke satu gear yang lain, Aniq memijak pedal penukar gear dengan penuh ketakutan. Aliff pula menutup erat matanya sambil mulutnya terkumat-kamit membaca surah lazim, itu pun tajwidnya entah ke mana disebabkan ketakutan yang amat sangat.
Kuda itu tidak lagi berpijak di bumi, tetapi sedang terbang mengejar mereka berdua!
Dua kaki hadapan kuda itu rupa-rupanya sepasang tangan bercakar tajam seperti tangan manusia, dan kuda itu cuba mencapai Aliff yang duduk di belakang. Setelah mengejar mereka berdua hampir beberapa ratus meter, kuda itu terbang ke arah hutan berdekatan lalu meninggalkan Aniq dan Aliff yang masih memecut laju.
Hairan pula bila tiada langsung kenderaan yang lalu-lalang, seolah-olah memberi laluan kepada aksi kejar-mengejar itu. Setibanya di simpang jalan besar, mereka terus menghala ke jalan seberang dengan harapan makhluk tersebut berhenti mengejar mereka.
* * *
Kedengaran lagu Metalingus dari kumpulan Alter Bridge berkumandang dari sebuah telefon pintar. Imej gagang telefon berwarna hijau yang terpapar di skrin ditekan.
"Aniq, main bola tak petang ni?" Suara di hujung talian mengajukan pertanyaan.
"Tak kot. Kau nak main ke?"
"Taklah, aku nak ajak kau lepak kat padang, lagipun ada benda aku nak story kat kau."
"Pasal kes itu hari ke?"
Tiada balasan dari hujung talian, individu di hujung talian sedang memikirkan sesuatu.
"Ha'ah, kau ambik aku pukul 6.
"Orait."
* * *
Bola disepak tinggi ke udara oleh penjaga gol. Berlaku perebutan di tengah padang sebaik sahaja bola tersebut menjunam ke tanah. Para belia di kampung itu memang aktif bermain bola pada setiap petang. Sememangnya mereka menyahut seruan "Nak Sihat Generasi Aktif Hebat" yang diwar-warkan pihak kerajaan melalui iklan televisyen.
Di tepi padang, Aniq dan Aliff serta beberapa orang rakan mereka sekadar menjadi penonton. Mereka berdua membiarkan fikiran mereka menerawang sambil pandangan mereka ditumpukan ke arah padang yang menghijau dikala senja membuka tirai. Masing-masing masih trauma dengan aksi kejar-mengejar mereka dengan makhluk aneh tempoh hari.
"Niq, agak-agak kaulah, binatang apa yang kita jumpa itu hari?" Pertanyaan diajukan oleh Aliff Asyraf setelah tiada perbualan berlangsung.
"Entahlah Lip, Sepanjang hidup aku inilah kali pertama aku jumpa kuda boleh terbang. Entah kuda Pegasus siapalah yang dah terlepas ni." Aniq sendiri tidak dapat mengenal pasti apa jenis makhluk Tuhan yang mengejar mereka tempoh hari. Entahkan binatang, entahkan syaitan, dia sendiri tidak dapat memberi jawapan yang pasti.
"Tapi aku nak tanya kaulah, kau ingat lagi tak macam mana rupa binatang tu? Seingat aku tu kuda kan? Cuma ada sayap je kan?"
"Ha'ah, masa kita cabut lari itu hari, aku sempat toleh belakang kalau-kalau dia dah tinggalkan kita ke apa. Yang aku nampak, binatang tu ada tanduk sepasang, sayap besar bentuk macam sayap kelawar, ekor dia panjang bhai, kalau dia libas kita hari tu mau berbirat belakang kita."
Aniq bingung. Pelik. Hairan. Bercampur kagum. Bagi Aniq, misteri ini sungguh mengagumkan, boleh jadi makhluk itu adalah yang terakhir dari spesisnya yang masih hidup di muka bumi. dan mereka berdua amat bertuah kerana berpeluang bersemuka dengannya.
Tetapi kalau manusia pun ia jadikan santapan, amat mustahil untuk manusia mendekati dan memahami tindak-tanduk makhluk itu, sekaligus menyukarkan maanusia untuk membantunya meneruskan kelangsungan hidupnya di bumi. Begitulah pendapat Aniq.
Aniq berasakan bahawa makhluk yang mengejar mereka itu tidak merbahaya, malah salah Aniq juga sebab melempar kayu ke arahnya. Kalau tidak, mereka berdua tentu dapat menjelajah ruang udara Malaysia dengan menaiki kuda itu.
Apa yang Aniq tidak sedar ialah makhluk itu juga mampu menumpahkan darah sesiapa sahaja dan menjadikan apa sahaja sebagai santapan.
Termasuklah manusia jika ia mahu.
* * *
Waktu senja. Waktu untuk seorang lelaki berusia separuh abad bernama Haji Hassan mengembala kambingnya untuk masuk ke kandang semula. Dalam kesamaran senja yang mula menghiasi tabir alam, Haji Hassan terperasan sesuatu. Seekor kambing baka boernya tidak kelihatan. Selesai memasukkan kambing-kambingnya yang lain ke dalam kandang, segera dia mencapai lampu suluhya di bangsal lalu meredah kebun berdekatan.
Suluhan lampu beralih dari satu sudut ke sudut yang lain. Haji Hassan mengajuk bunyi kambing seperti yang selalu dibuatnya untuk menarik perhatian kambingnya yang hilang. Tiba di sebatang pokok, Haji Hassan menghentikan langkahnya. Dia berhenti kerana dikejutkan oleh bunyi dengusan di sebalik pokok tersebut. Spontan, dia bersandar di sebalik pokok sebagai langkah berjaga-jaga, manalah tahu itu adalah beruang. Tidak larat Haji Hassan hendak bergusti dengan beruang dikala kudratnya tidak lagi mengizinkan.
Dari sebalik pokok tempat Haji Hassan bersembunyi, kedengaran bunyi seperti tulang-temulang dipatahkan diikuti bunyi dengusan. Perlahan-lahan, Haji Hassan mengintai ke arah bunyi itu datang. Dalam keadaan yang kurang jelas, Haji Hassan menyuluh lampunya ke arah satu lembaga hitam yang besar. Haji Hassan melihat dengan jelas lembaga seekor kuda besar berwarna hitam dan bersayap sedang berdiri sambil meratah seekor kambing dipercayai miliknya dengan lahap.
Kedengaran juga bunyi makhluk itu mengunyah tulang-temulang kambing malang itu.
"Krup krap krup krap".
Bagaikan ia sedang mengunyah sesuatu yang rangup.
Haji Hassan hampir pitam melihat pemandangan yang sukar dipercayai itu. Lututnya menggeletar, namun digagahinya juga untuk melarikan diri. Baru sahaja beberapa langkah, Haji Hassan terpijak sebatang ranting lalu menarik perhatian makhuk itu.
Makhluk itu segera berpaling ke arahnya. Kehadirannya di situ telah disedari. Penglihatan malamnya mengesan seseorang cuba melarikan diri. Kambing yang berada digenggaman makhluk itu dilepaskan. Nalurinya mengisyaratkan bahawa si tua itu adalah ancaman. Ledakan adrenalin tercetus didalam tubuh si makhluk.
"Itu adalah ancaman, hapuskan ancaman itu!" Getus gerak naluri haiwan tu.
Satu ringkikan kuat dan nyaring kedengaran dari arah belakang. Haji Hassan meredah semak-samun dengan sepenuh kudratnya sehinggalah dia berjaya keluar dari kebun dan tiba di kawasan padang ragut kambingnya. Setibanya di tengah padang, Haji Hassan berhenti untuk mengambil nafas. Tercungap-cungap si tua itu mengambil nafas setelah berlari dengan sepenuh tenaga.
"Astaghfirullahalazim!" Haji Hassan mengucapkan ta'awuz, masih lagi terkejut dengan penemuan hebatnya sebentar tadi. Haji Hassan mengelap peluh yang membasahi mukanya sambil memerhati keadaan sekeliling. Makhuk itu tak lagi kelihatan. Walaupun tak dapat dipastikan apa yang dijumpainya, sekurang-kurangnya dia terselamat dari menjadi makan malam makhluk itu.
Setelah nafasnya kembali stabil, Haji Hassan mengorak langkah untuk pulang ke rumah. Baru beberapa langkah, dia terperasan yang dirinya diredupi oleh satu bayang-bayang besar. Haji Hassan menoleh ke atas. Rupa-rupanya sang empunya baayang-bayang itu adalah kuda bersayap tadi, dan ia sedang terawang-awang di udara sambil mengibas-ngibaskan sayapnya dengan dilatari langit senja
Renungan tajam sang kuda membuatkan Haji Hassan terduduk. Dia kini di dataran terbentang, tiada lagi jalan untuk melarikan diri, tiada lagi tempat untuk bersembunyi. Seluruh tubuhnya menggigil ketakutan. Sang kuda tidak membuang masa lagi, ia meringkik dengan kuat lalu terbang rendah menerkam Haji Hassan.
Jeritan Haji Hassan memecah kesunyian Kampung Pungguk pada senja itu.