Laungan tersebut berkumandang dari pelbagai arah. Anak Haji Hassan memaklumkan kepada para penduduk kampung akan kehilangan ayahnya yang tidak pulang ke rumah sejak senja tadi. Usaha mencari masih giat dijalankan biarpun waktu sudah menginjak 12:30 tengah malam.
Aniq turut menyertai dalam operasi SAR tersebut. Pada mulanya dia hendak mengajak Aliff untuk turut serta memandangkan cuti sekolah bukannya buat apa-apa pun. Tetapi memandangkan Aliff sudahpun selamat melayari bahtera mimpi, dia pergi seorang saja.
Aniq menyertai misi pencarian itu atas semangat ukhuwah sesama saudara seagama. Lagipun Aniq pernah bekerja di kandang kambing milik Haji Hassan, maka dia merasa bertanggungjawab untuk mencari dan menyelamatkan bekas majikannya itu.
Jarum jam sudah menghampiri pukul 1 pagi, jangan kata bayang, tumit kaki Haji Hassan langsung tidak kelihatan. Aniq meneruskan pencariannya di kawasan padang ragut berhampiran sebuah kebun. Dari satu sudut ke sudut yang lain, apa yang kelihatan hanyalah rumput-rumput yang tumbuh meliar. Sesekali dia melaungkan nama Haji Hassan, namun tiada sahutan.
Sesekali angin malam bertiup, kedinginannya meredakan tekanan yang dialami para penduduk kampung yang masih bersengkang mata mencari Haji Hassan.
Aniq pula sudah menguap beberapa kali, menandakan dia sudah mengantuk. Dia meredah ke kawasan tengah padang ragut. Kalau masih tak jumpa juga, maka pencarian terpaksa ditangguhkan keesokan harinya. Aniq menyuluh ke arah satu semak dimana lalang tumbuh meninggi. Tiba-tiba, matanya menangkap suatu objek yang terjulur keluar dari semak itu. Kaki manusia!
Pantas Aniq menguak semak itu dan dia menjumpai orang tua itu. Haji Hassan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di muka dan badannya dipenuhi dengan luka akibat kesan cakaran.
"Hei korang! Haji Hassan ada kat sini!" Aniq menjerit kepada para penduduk kampung yang masih mencari di kawasan sekitar. Dengan pantas beberapa orang kampung bergegas menuju ke arah Aniq.
"Masyaallah Pak Haji! Apa dah jadi ni??!!" Rata-rata mereka amat terkejut melihat keadaan Haji Hassan yang mengerikan. Aniq memeriksa nadi orang tua itu.
Masih berdenyut. Syukurlah, mereka masih belum terlambat. Aniq kemudian menyuruh penduduk kampung agar menghubungi ambulans. Haji Hassan memerlukan bantuan perubatan dalam kadar segera. Jika tidak, alamatnya adalah kenduri arwah yang akan berlangsung di kampung itu. Haji Hassan kemudian diangkat oleh penduduk kampung ke rumah penduduk kampung yang berdekatan. Beberapa minit kemudian, ambulans tiba dan Haji Hassan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Dengan terjumpanya Haji Hassan, maka penduduk kampung mula bersurai.
Penduduk kampung yang terlibat dalam misi pencarian masih terkejut dengan Haji Hassan. Mereka saling berbincang mengenai keadaan orang tua itu yang mengerikan. Mereka saling menceritakan spekulasi masing-masing mengenai bagaimana Haji Hassan ditimpa cedera parah.
Dikala penduduk kampung mula beredar, Aniq menggelengkan kepalanya. Entah siapa yang sanggup mencederakan Haji Hassan sebegitu rupa. Apa salah orang tua itu? Haji Hassan seorang yang peramah dan tidak lokek senyuman serta baik hati. Mustahil dengan sifat mahmudah sebegitu ada orang sanggup menyakitinya.
Aniq kemudian pulang ke rumah dengan rasa sedih mengenangkan nasib orang tua itu. Entah apa azab yang dilaluinya sebelum dirinya ditemui oleh penduduk kampung.
Dengan fikiran yang masih dihurungi persoalan, Aniq pulang ke rumah dengan ditemani deruan angin malam yang dingin, tanpa menyedari ada sepasang mata bersinar warna merah sedang memerhatikannya dari sebalik sebatang pokok.
* * *
Sebuah motosikal EX5 tiba di sebuah kawasan meletak kereta di perkarangan sebuah hospital. Dua orang remaja turun dari motosikal lalu membuka helmet masing-masing. Keadaan di hospital sibuk dengan aliran ambulans dan kereta para pengnjung yang keluar dan masuk ke hospital.
"Pak Haji sekarang ada dekat wad mana Niq?" Aliff Asyraf mengajukan soalan setelah tiba di hospital.
"Laili mesej aku dekat Wad 8 tingkat 2, dia cakap Pak Haji dah sedar."
Mereka berdua berjalan melalui susur gajah menuju ke wad yang dimaksudkan. Tujuan kedatangan mereka adalah untuk melawat Haji Hassan yang dimasukkan ke hospital beberapa hari lalu setelah dia ditemui dalam keadaan cedera parah dipercayai diserang binatang buas.
Mereka tiba di Wad 8 dan menjumpai Haji Hassan sedang tidur. Laili, anak bongsu Haji Hassan yang bertudung dan berblaus berwarna biru laut sedang menemani ayahnya di sisi katil. Mereka kemudian mendekati katil Haji Hassan lalu memberi salam kepada Laili.
"Assalamualaikum, Laili. Ayah apa khabar?" Aniq bertanyakan keadaan Haji Hassan yang sedang nyenyak tidur di katil. Tubuhnya dipenuhi dengan llilitan balutan luka.
"Waalaikumsalam. Alhamdulillah ayah dah bangun lama dah. Cuma dia cakap dia nak rehat. Itu pasal Li biarkan ayah tidur." Laili menjelaskan keadaan ayahnya. Mereka berbual dalam nada suara yang rendah agar tidak mengejutkan Haji Hassan.
"Baguslah kalau dah bangun. Siapa lagi yang dah datang tengok ayah?"
"Setakat ni orang kampung dengan saudara-mara. Termasuk korang." Ternyata semangat persaudaraan para penduduk Kampung Pungguk jelas dipaparkan dengan keprihatinan mereka terhadap Haji Hassan.
Aniq melihat keadaan Haji Hassan dengan rasa hairan. Pelbagai persoalan timbul. Apa yang menyebabkan Haji Hassan cedera sebegitu teruk? Siapa penyerangnya? Apa motifnya? Motif dendam? Khianat? Cemburu? Sabotaj? Cubaan merampas kuasa? Dia sendiri tidak pasti.
Aniq termenung panjang. Dia mula teringat kenangan dia bersama orang tua itu ketika dia bekerja di kandang kambing milik Haji Hassan setiap kali cuti sekolah menjengah. Malah baru saja beberapa hari dia berjumpa Haji Hassan untuk menyatakan hasratnya untuk bekerja sementara menunggu keputusan SPM keluar.
Bukan itu saja, malah kerap juga dia dan Aliff keluar memancing ke lubuk kegemaran mereka yang ditunjukkan oleh Haji Hassan. Haji Hassan kaki pancing tegar, setakat lubuk ikan yang banyak habuan bukan masalah besar baginya. Di lubuk itu juga menyaksikan bagaimana Haji Hassan mengajar dia dan Aliff akan seni-seni mengikat mata kail, teknik mengail, jenis-jenis umpan dan teknik-teknik mengendali kekili dan joran tatkala ikan tersangkut di mata kail. Lubuk itu juga menjadi saksi bisu akan kejayaan mereka bertiga mendaratkan seekor toman besar seberat 6 kg, tangkapan paling besar sepanjang 'karier' sambilan Aniq sebagai pemancing.
Kini, kenangan itu perlahan-lahan pudar dari tabir mata Aniq. Perlahan-lahan Aniq dijemput keluar dari alam khayalan penuh warna-warni indah kenangan mereka bersama. Di hadapannya, Haji Hassan, terbaring lemah di katil hospital. Berbalut, berplaster disana sini. Luka-luka bertebaran diserata tubuhnya. Orang tua itu sudah dianggap bagaikan ahli keluarganya sendiri, bagaikan pakciknya sendiri.
Melihat Aniq sedang termenung melihat Haji Hassan, Laili berjalan perlahan ke arah lobi lif.
"Aliff, sini kejap." Laili memanggil Aliff agar berjumpa dengannya di lobi lif.
"Ada apa?" Aliff sedikit hairan kerana dipanggil Laili. Seperti ada perkara penting yang hendak dibincangkan kepadanya.
"Aliff, apa yang aku nak cerita dekat kau ni mungkin susah kau nak percaya. Mungkin lepas ni kau akan kata aku ni gila. Tapi benda ni bukan aku reka, benda ni ayah aku yang ceritakan dekat aku. Aku harap kau boleh dengar dan kalau kau nak percaya atau tak, itu terpulang kat kau, okey?" Laili memulakan bicara dengan memberi sedikit peringatan. Laili yakin bahawa perkara yang bakal disampaikannya sukar diterima oleh sesiapa pun.
"Apa dia?" Aliff mula menunjukkan minat terhadap perkara yang bakal dibincangkan mereka.
Perbualan bermula. Laili menceritakan segala yang diterima dari ayahnya mengenai penyerang Haji Hassan beberapa hari lalu. Di tengah-tengah perbualan mereka, Aliff tersentak. Ada butir-butir perbualan itu yang memberi kejutan kepadanya. Aliff termenung seketika tatkala mendengar butir-butir seterusnya daripada Laili.
Selesai perbualan, Aliff Asyraf terdiam. Mukanya diraup dengan pelbagai persoalan mula bermain di minda. Maklumat yang diberi Laili cukup memberi kejutan kepadanya. Butirnya mungkin kedengaran mengarut, tetapi bagi Aliff, ia mampu membantu mereka untuk merungkai misteri yang menyelubungi Kampung Pungguk ketika ini.
Mindanya mula bekerja. Memori tentang peristiwa dikejar kuda terbang mula dipacu sambil cuba dikaitkan dengan kejadian yang baru menimpa Haji Hassan. Dia cuba mencari kaitan diantara makhluk yang dijumpainya dengan makhluk yang menyerang ayah Laili.
Lagaknya bagaikan Sherlock Holmes yang sedang meneroka 'Istana Minda', dengan kedua-dua tangannya digerakkan ke kiri dan kanan, atas dan bawah beserta mata yang tertutup.
Kagum Laili melihat aksinya memandangkan dia juga peminat drama bersiri Sherlock, tak perlu pergi jauh-jauh ke England untuk berjumpa Benedict Cumberbatch. Di depan matanya ada Sherlock, cuma yang ini berbangsa Melayu.
Tidak lama kemudian, Aniq muncul di lobi lif. Hari sudah petang, masa untuk mereka bermain bola sepak. Melihatkan Aliff yang masih menyelusuri 'Istana Minda', segera dia memiat telinga Aliff untuk menyedarkannya. Kalau dibiarkan, alamat sampai ke Isyaklah Aliff berbuat begitu.
"Laili, kalau ayah dah sedar nanti kirim salam kat dia tau. Apa-apa pun, banyakkan berdoa, jaga ayah kau baik-baik. Apa-apa hal, roger kitorang." Aniq memberi pesanan kepada Laili agar bersabar menghadapi ujian ini. Aliff sekadar tersenyum melihat keprihatinan Aniq. Bukan dia tidak tahu yang Aniq menyukai Laili dalam diam.
"Ok. Korang pun sama, balik rumah bawak motor baik-baik sikit. Karang tak pasal-pasal satu wad dengan ayah aku."
"Hehe ok. Kitorang gerak dulu, assalamualaikum."
"Waalaikumsalam."
* * *
Sebiji gelas berisi teh ais diletakkan di atas sebuah meja. Aniq yang sedari tadi leka membaca suapan-suapan berita di laman sosial Facebook melalui telefon pintarnya membasahkan tekak dengan minuman itu. Aliff pula sedang menumpukan perhatian kepada perlawanan bola sepak diantara pasukan Kelantan menentang Selangor di televisyen.
Mereka berdua sedang menghabiskan masa melepak di restoran untuk menonton perlawanan bola sepak memandangkan ahli keluarga mereka berdua lebih suka menonton rancangan Bintang Mencari Bintang. Remote TV pula dikawal ketat agar rancangan realiti itu tidak diubah siarannya. Terpaksalah mereka menonton bola sepak di luar.
Sesekali percubaan dari pemain Kelantan tersasar, maka setiap kali itulah Aliff mengetuk meja. Aniq pula masih membaca suapan berita di Facebook, kebanyakan daripadanya hanyalah berkenaan Bintang Mencari Bintang dan gambar-gambar selfie. Meluat pula rasanya, rasa macam nak kunyah-kunyah telefon pintarnya tu. Tetapi memandangkan itu sajalah telefon bimbit yang dia ada, maka dia tahankan saja.
Sedang dia meng'scroll down' suapan beritanya, dia terbaca sebuah status dari sebuah page Facebook yang di'Like'nya bernama Cryptids Fan Team. Page tersebut merupakan tempat persinggahan bagi warga Facebook yang meminati makhluk-makhluk mitos atau lebih dikenali sebagai cryptids.
Di status itu, pentadbir page tersebut memuatnaik gambar illustrasi seekor haiwan seperti kuda yang bertanduk, bersayap, berekor panjang dan tangan yang bercakar tajam. Di samping gambar tersebut, terdapat keterangan yang menjelaskan identiti makhluk tersebut.
"... Jersey Devil merupakan seekor 'cryptids' yang berasal dari kawasan Pine Barrens di selatan New Jersey, Amerika Syarikat. Ia dikatakan seekor haiwan seperti kuda bertanduk, bersayap seperti sayap kelawar, tangan bercakar, berekor panjang dan kaki bertelapuk. Namun, terdapat pelbagai versi kisah mengenai Jersey Devil sejak kemunculannya. Ia merupakan 'urban legend' yang paling terkenal di New Jersey dan telah menghantui kawasan Pine Barrens dan sekitarnya selama lebih 260 tahun. Entiti ini telah dilihat oleh ratusan malahan ribuan saksi dan diketahui menyerang haiwan ternakan, pekan-pekan kecil, menyebabkan kilang-kilang pelbagai industri terpaksa ditutup atas sebab keselamatan..."
"... Ada pendapat mengatakan bahawa makhluk ini hanyalah dongeng khayalan sahaja. Namun, ada pihak membantah kenyataan ini. Penduduk New Jersey mendakwa pernah melihat haiwan ini terbang dan makhluk ini mengeluarkan suara yang menakutkan..."
Aniq membaca status yang dimuatnaik oleh admin page tersebut dengan penuh minat. Jersey Devil? Menarik juga untuk dibaca. Disamping status itu juga, turut disertakan sebuah pautan laman sesawang sebagai rujukan kepada mana-mana pembaca yang ingin mengetahui kisah lanjut mengenai makhluk Jersey Devil ini. Aniq kemudian menekan pautan laman sesawang berwarna biru itu.
http://theshadowlands.net/jd.htm
Di laman sesawang itu, Aniq membaca tentang sebuah entri tentang sejarah Jersey Devil. Ia menceritakan tentang kelahiran Jersey Devil yang penuh misteri. Baru sahaja dia hendak scroll down...
"...Gooooool!!!..." Para pelanggan restoran bertempik apabila Andik Vermansyah menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke 15. Terkejut Aniq apabila tiba-tiba jeritan gol daripada para pelanggan berkumandang secara mengejut. Lega juga kerana pasukan kegemarannya Selangor kini mendahului. Namun tumpuan yang diberikannya untuk membaca rencana terganggu pula. Aliff pula sudah menggaru kepalanya dengan rasa kecewa, pasukan The Red Warriors yang disayanginya kini ketinggalan.
Kalau begini gayanya, susahlah dia nak hadam isi-isi rencana tu dengan baik. Lalu Aniq mengambil keputusan untuk membacanya di rumah dan mendaftar keluar dari akaun Facebooknya. Kemudian...
"Kahkahkah!" Deraian gelak tawa Aniq membingitkan telinga Aliff.
Bola sepak adalah minat mereka, Selangor diminati Aniq, TRW pilihan Aliff. Kutuk-mengutuk adalah benda biasa bagi mereka, malah itu yang menjadi pengerat persahabatan mereka berdua.
* * *
Beberapa ratus meter tinggi di atas restoran, sebuah lembaga hitam bersayap sedang terbang merentasi ruang udara pekan Kampung Pungguk. Ia sedang memerhati mana-mana hidupan yang sesuai untuk dijadikan santapannya pada malam itu. Bebola matanya meliar ke kiri dan kanan. Seleranya yang hauskan darah mesti dipuaskan. Tiba di suatu kawasan hutan, penglihatan malamnya menangkap suatu bayang.
Seekor anjing baka Dalmatians sedang minum di sebuah lopak air. Sedang ia enak menikmati air lopak yang sejuk, tanpa ia sedari, sebuah lembaga hitam sedang terbang rendah lalu menerkamnya dari arah belakang.
Seketika kemudian, berlaku pergelutan kecil didalam semak berhampiran. Kudrat lembaga hitam itu bukan tandingan anjing malang itu. Seketika kemudian, darah merah segar memancut lalu membasahi bumi diikuti lolongan kuat yang kemudiannya semakin perlahan dan akhirnya senyap.