Sunday, February 15, 2015

Amuk Syaitan Jersey (Part 4)

"...Tap tap tap tap tap..."

Jari-jemari Aniq tangkas menekan petak-petak abjad di papan kekunci komputernya. Aniq sedang menaip pautan laman web ke dalam kotak carian Google. Butang Enter ditekan lalu beberapa saat kemudian, ribuan hasil carian terpapar. Dia menjumpai laman yang dicarinya. Tangannya memandu tetikusnya agar menekan pautan yang diingininya.


Aniq ingin meluangkan masanya pada malam itu untuk membaca rencana yang ingin dibacanya tempoh hari. Disisi komputernya terdapat sebuah buku nota. Di dalamnya terdapat butir-butir yang dicatat oleh Aniq. Butir-butir itu adalah maklumat yang diperoleh dari Aliff hasil perbualan antara Aliff dan Laili semasa mereka menziarahi Haji Hassan di hospital beberapa hari yang lalu.


Malam itu dia ingin membuat sedikit kajian tentang makhluk Jersey Devil yang baru diketahuinya melalui page Facebooknya. Entah kenapa, tiba-tiba dia begitu berminat dengan entiti misteri ini.


Entiti misteri ini amat serupa dengan makhluk aneh yang mengejar mereka semasa mereka meninjau bangkai lembu di kebun getah. Ciri-ciri fizikalnya padan dengan butiran yang diberikan oleh Laili.


Adakah makhluk yang sedang merajai hutan belukar Kampung Pungguk ketika ini adalah Jersey Devil? Adakah ia mensasarkan manusia sebagai makanan utama? Mampukah ia dijinakkan? Persoalan-persoalan ini kerap berlegar-legar di dalam fikirannya.


Dan terdapat satu persoalan utama. Kalau betul makhluk yang sedang membuat onar di Kampung Pungguk ketika ini adalah Jersey Devil, bagaimana ia mampu sampai ke sini? Sedangkan jarak Pine Barrens di New Jersey dan Kampung Pungguk di Selangor sejauh ribuan batu?


Aniq termangu seketika. Jika orang seperti Haji Hassan sudah menjadi mangsa, apatah lagi orang lain? Apatah lagi budak-budak kecil yang riang bermain di kampung? Langkah berjaga-jaga perlu diambil. Pihak berkuasa mesti dimaklumkan supaya tindakan lanjut boleh diambil.


Laman web yang loading sejak beberapa minit tadi terpapar. Rencana mengenai sejarah kelahiran Jersey Devil kini bersedia untuk menjadi santapan minda Aniq.





"... Mengenai sejarah kelahiran Jersey Devil, terdapat pelbagai versi mengenainya. Salah satu versi yang paling terkenal ialah seorang wanita bernama Puan Shrouds dari Leeds Point, New Jersey berharap supaya jika dia memperoleh seorang anak lagi, dia mahukan anak itu menjadi syaitan.


Lalu hasratnya terkabul, anak beliau yang seterusnya lahir sebagai seorang yang cacat dan berbentuk aneh. Beliau mengurungnya di dalam rumah, supaya orang ramai tidak mengetahui akan kewujudannya. Lalu pada suatu malam yang disertai ribut, anak itu mendepakan tangannya yang kemudiannya berubah menjadi sepasang sayap, lalu terbang melarikan diri melalui serombong rumah dan tidak dilihat oleh keluarganya lagi..." 

 "... Satu lagi versi menceritakan bahawa seorang gadis tempatan telah jatuh cinta dengan seorang askar British ketika Perang Revolusi. Ini menyebabkan penduduk tempatan membenci lalu menyumpahnya. Apabila dia melahirkan anak, anak yang lahir itu berubah menjadi makhluk seakan-akan syaitan. Sesetengah pihak berpendapat bahawa kelahiran raksasa itu adalah hukuman atas penindasan seorang menteri oleh penduduk Leeds..." 


"... Satu lagi kisah bertempat di Estelville, New Jersey. Puan Leeds dari Estelville mendapat tahu yang dia mengandungkan anaknya yang ke-13, lalu beliau berteriak : " Aku berharap anak ini menjadi syaitan!".


Harapannya tertunai. Anaknya lahir dengan tanduk, ekor, sayap dan kepala seperti kuda. Anak itu menziarahi Puan Leeds setiap hari. Ia akan berdiri di hadapan pintu dan Puan Leeds akan menyuruhnya pergi. Setelah beberapa lama, anak itu akhirnya faham akan tindakan ibunya dan tidak muncul lagi selepas itu..."


"...Terdapat banyak kepelbagaian versi legenda ini. Ada yang mengatakan anak itu adalah anak ke-6, ke-8, ke-10, ke-12 atau ke-13.  Ada versi mengatakan anak itu dilahirkan normal atau cacat, dan si ibu menyembunyikan anak itu di bilik bawah tanah atau di loteng..."



Menarik. Itulah pendapat pertama yang tergetus di hati Aniq. Santapan mindanya kali ini tidak biasa ditemui di sini, baik di kaca televisyen mahupun di dalam novel-novel yang terjual di kedai buku.


Aniq membaca semula catatan di buku notanya. Baris demi baris dibacanya dengan teliti. Ciri-ciri fizikalnya amat padan dengan apa yang dinyatakan di laman web itu.


Aniq mengscroll down laman web itu dan termenung seketika. Fikirannya giat bekerja mencari penjelasan yang munasabah. Sukar untuk dia percaya bahawa makhluk yang menyerang mereka itu adalah Jersey Devil.


Ada as
as sebenarnya disebalik ketidakpercayaan Aniq mengenai kewujudan makhluk itu di negara ini. Benarkah haiwan ini benar-benar wujud? Atau ia sekadar hoax atau penipuan?

Apakah ada manusia yang membawanya ke sini? Mustahil. Jika benar, sudah pasti makhluk itu berada dibawah tawanan para saintis. Makhluk itu adalah spesimen yang amat tak ternilai harganya bagi para penyelidik haiwan.

Satu lagi kemusykilan ialah legenda Jersey Devil bermula pada tahun 1735, dan kini sudah memasuki pe
rtengahan tahun 2014. Ini bermakna usia Jersey Devil kini mencecah 279 tahun.

Makhluk apa itu? Dinosaur Lost World ke? Tak mungkin ia tidak mati lagi jika ia haiwan biasa kalau mengikut logik akal yang waras. Ini menguatkan lagi pendapat Aniq bahawa makhluk ini bukan Jersey Devil.


Walaubagaimanapun, satu perkara yang menggugat pendapat Aniq adalah wujudnya laporan-laporan penampakan dan serangan yang dilakukan oleh Jersey Devil ke atas haiwan ternakan dan manusia di tempat asalnya, dan laporan ini mula dicatatkan seawal tahun 1800-an lagi. Ini bukannya kes serangan haiwan biasa jika terdapat rentetan laporan yang dicatatkan sejak ratusan tahun lagi.


Apabila Aniq teringat akan kewujudan laporan-laporan ini, segera dia membuka 'tab' lalu menulis sesuatu di enjin carian. Dia mahu mencari apa-apa laporan penampakan dan serangan yang pernah dilancarkan oleh makhluk ini.


Jumpa. Kebanyakan laporan yang ditulis dalam bahasa Inggeris itu dibaca dengan teliti. Kebanyakan penampakan dan serangan yang dilancarkan Jersey Devil berkisar di Pine Barrens dan kawasan sekitarnya sejak kurun ke-19.

 Antara yang paling terkenal ialah penampakan yang dialami oleh Joseph Bonaparte, iaitu mantan Raja Sepanyol dan juga abang kepada Napoleon Bonaparte di mana beliau telah melihat makhluk itu di Bordentown, New Jersey diantara 1816 dan 1839 ketika sedang keluar berburu.

Menurut laporan-laporan tersebut juga, Jersey Devil menyerang haiwan ternakan dan membunuh mereka pada waktu malam dan kadang-kala membuat kemunculan di halaman rumah para penduduk


Sekarang ini Aniq berada di atas garisan halus yang memisahkan wilayah pendiriannya dengan misteri yang belum terungkap. Apakah mitos ini benar-benar kisah sebenar atau mereka yang ters
alah nampak? Apakah mereka menyangka burung-burung helang atau haiwan liar lain sebagai Jersey Devil yang berterbangan di ruang udara New Jersey? Dan jika kisah ini hanyalah kisah khayalan untuk dendangan anak kecil sebelum tidur, apakah makhluk yang berada di Kampung Pungguk sekarang ini?

Entahlah. Aniq sendiri tidak tahu.


Jam sudah menginjak ke pukul 1:10 pagi. Matanya sudah berat menanggung beban lesu yang sedari tadi bertepek di kelopak matanya. Masa untuk tidur, esok dia perlu bangun awal sedikit untuk membeli sarapan buat keluarganya. Nak harapkan adiknya? Alamatnya mereka sekeluarga akan bersarapan tengahari.


Buku nota dan beberapa helaian kertas serta alat tulis yang digunakannya tadi disusun kemas di suatu sudut di meja komputer. Butang pangkah merah ditekan dan panel 'Start' ditekan. Pilihan 'Shut Down' dipilih dan Aniq beredar ke bilik air untuk berwuduk sebelum tidur.


Selesai berwuduk, telinganya menangkap suatu bunyi aneh. Bunyi seperti deruan angin seakan-akan sedang mengelilingi rumahnya. Perasaannya mula dihambat rasa cemas. Kaki terasa berat untuk melangkah, sekarang sudah lewat malam, apa benda pula yang datang mengganggu dia. Orang atau...


Ahh! Tanggapan itu dibuangnya jauh-jauh. Selama dia tinggal di kampung nan permai itu, belum pernah lagi dia ternampak atau diganggu oleh hamba Allah yang satu lagi itu. Kalau betul mereka cuba mengganggu, dia ada ayat-ayat suci yang diturunkan oleh Al-Malik sebagai perisai untuk hamba-hamba-Nya yang serba kekurangan ini.


Perlahan-lahan kakinya melangkah ke hadapan. Bunyi itu masih berlegar-legar di sekeliling rumahnya, bunyinya seakan-akan sesuatu sedang terbang. Emak, ayah dan adiknya langsung tidak terjaga dari gangguan itu. Nyenyak sungguh mereka tidur. Perlahan-lahan Aniq mendekati tingkap untuk melihat ke luar rumah, dia mahu meninjau siapa yang membuat angkara. Dia melihat ke halaman rumah.

Kosong. Hanya tiang elektrik sahaja yang mengisi latar malam di tepi jalan kampung. Halaman rumahnya pula diterangi oleh lampu dari tiang elektrik berhampiran.


Pelik. Sebaik sahaja dia menjengah ke luar tingkap, bunyi aneh itu tiba-tiba senyap. Yang ada hanyalah bunyi-bunyian serangga yang menjadi peneman sunyi malam itu.

Melihatkan tiada apa-apa yang mencurigakan dan bunyi aneh itu pun sudah tiada, Aniq beredar dari tingkap lalu berjalan menuju ke bilik. Dia mahu berlindung dalam biliknya sebelum apa-apa yang tidak diingininya terjadi. Tiba-tiba...


SSSSSSKREEEEEEEEEETTTTT!! SSSSSKKKKKKRRREEEEEETTTTTTTT!!!


Satu lagi bunyi aneh berkumandang, kali ini datangnya dari tingkap tadi! Ada sesuatu sedang mencakar pada kaca tingkapnya! Bunyi itu berulang-ulangkali, semakin lama semakin menyakitkan gegendang telinga. Sangat nyaring, menyucuk-nyucuk deria pendengaran sesiapa sahaja yang mendengarnya.


Apa benda yang sedang berlaku ni??!! Nampaknya memang ada sesuatu yang sedang cuba mengganggu ketenteraman Aniq dan keluarganya!


Pantas Aniq mengatur langkah seribu ke arah biliknya. Pintu bilikny
a dikunci, begitu juga dengan tingkap. Lampu segera ditutup bagi mengelakkannya dari menarik perhatian pengacau misteri itu. Dengan hanya berbekalkan lampu dari telefon pintarnya, Aniq diam di bilik bersama adiknya. Adiknya sudah selamat tidur, tidak menyedari sedikit pun gangguan yang sedang dihadapi abangnya.


Bunyi itu masih kedengaran, pengacau itu masih berada di tingkap itu. Aniq sudah menggigil ketakutan. Apa yang dia mampu buat ketika itu ialah membaca ayat pendinding dari Surah Al-Baqarah iaitu Ayatul Kursi. Satu demi satu baris ayat Kursi meniti di bibirnya.

Dalam kedinginan, Aniq menyelimutkan keseluruhan tubuhnya dengan harapan yang berbuku di dada agar si pengacau itu pergi dari rumahnya. Dan perlahan-lahan Aniq terlelap dan mula dibuai mimpi...





                                                                     *       *       *



"...Assalamualaikum warahmatullah..." Salam kedua di takhiyat akhir diucapkan Aniq, menandakan solat Subuhnya telah selesai. Usai solat, Aniq menadah tangan memohon kepada Sang Pemerintah Yang Maha Kaya, memohon agar dia dilindungi oleh Allah dari sebarang bala bencana dan kesulitan.

Tidak dia lupa untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapanya, moga-moga kedua insan yang dikasihinya itu diberikan kesihatan yang baik dan dilimpahkan rezeki yang mencurah-curah.


Selesai berdoa, Aniq diam sebentar di atas tikar sejadah, mengenangkan peristiwa yang berlaku malam tadi. Dibiarkan fikirannya melayang dalam kedinginan subuh yang masih menyelimuti bumi Kampung Pungguk.


Apakah yang datang ke rumahnya malam tadi? Entiti apakah yang telah membingitkan telinganya dengan cakaran kuku tajam pada kaca tingkap rumahnya? Apakah ia? Siapakah ia? Apakah motifnya?


Aniq mula merasakan bagaikan dirinya diburu, bagaikan ada sepasang mata yang tajam memerhati setiap gerak dan langkah sejak peristiwa dia dan Aliff dikejar makhluk misteri di kampung beberapa hari lalu.


Sehingga ke hari ini, Aniq masih tidak dapat meneka apakah makhluk itu sebenarnya dan pada masa yang sama dia tidak mendapat sebarang petunjuk mengenai siapa penyerang Haji Hassan tempoh hari.


Aniq mengambil keputusan untuk menghentikan perjalanan fikirannya, kerana kalau difikirkan lebih-lebih pun akan mengusutkan kepalanya. Adalah lebih baik sekiranya dia berfikir mengenai halatujunya selepas SPM ini.


Noktah. Dia membiarkan persoalan itu di jalan buntu. Persoalan biarlah menjadi persoalan. Aniq mencapai baju 'sweater' yang digantung di penjuru bilik, dia mahu ke warung yang berdekatan untuk membeli sarapan buat keluarganya. Kesejukan hawa subuh di kampung sememangnya mendinginkan setiap inci kulit sesiapa sahaja yang cuba meredahnya.


Dengan motosikal EX-5 merah miliknya, Aniq menuju ke warung berkenaan. Kelihatan beberapa orang kampung sudah pun keluar menuju ke kebun masing-masing, mencari rezeki untuk memenuhi perut anak isteri.

Bagaikan burung yang terbang di pagi hari, lena panjang terpaksa dihenti setakat di waktu subuh kerana mengenangkan rezeki tidak akan terbang ke pintu rumah mereka dan tidak akan bergolek di depan mata tanpa usaha yang dikerah bersama keringat.


Setibanya di warung, Aniq disapa oleh rakannya yang bekerja sambilan di warung itu. Perbualan mereka ringkas sahaja mengenangkan Aniq belum sepenuhnya hilang mengantuk. Dia layankan juga perbualan rakannya itu yang begitu 'hidup' pada waktu pagi.

Apa makan agaknya rakannya itu waktu pagi sudah begitu bersemangat. Selepas mendapat satu pesanan, rakannya terpaksa beredar ke dapur untuk menyiapkan pesanan dari pelanggan.


"...Assalamualaikum budak rock..." Satu suara lembut datang dari belakangnya. Rupa-rupanya Laili yang menyapa.


"...Ahh
! Malunya aku, dahlah tak mandi lagi!..." getus hati Aniq.


"...Waalaikumsalam. Eh budak kecik, awalnya bangun..." Aniq cuba menjadikan perbualan. Tiba-tiba satu semangat menyusup ke dalam dirinya. Hilang segala mengantuk, penangan si gadis kampung cantik kecil molek.


"Mestilah bangun awal, kalau tak siapa nak hantar kuih-kuih yang mak buat ni? Apalah awak" Balas Laili yang disertai satu senyuman.


"Saya kan ada, boleh je hantar. Hari ni buat, semalam dah sampai" Aniq cuba membuat garis tumbuk atau lebih dikenali sebagai 'punchline', cuba membuatkan si gadis ketawa.


"Hahaha..." Si gadis ketawa. Perbualan mereka berdua agak rancak. Aniq yang dari tadi menguap tak sudah tiba-tiba segar. Aniq sendiri tidak menyangka bahawa dia dapat berbual sebegitu lama dengan Laili hampir lupakan masa.


Aniq meminta diri untuk pulang, kelak tiada santapan untuk keluarga. Setibanya di rumah, ibunya sedang menyiapkan air untuk sarapan. Hanya senyuman lebar yang terpampang di wajahnya ketika dia membantu ibunya menyiapkan sarapan.

 Ibunya merasa aneh dengan kelakuan anak sulungnya itu, jarang dia melihat Aniq tersengih-sengih pada waktu pagi seperti itu, semasa hari kertas akhir peperiksaan SPM pun tak ada pula gembira seperti itu. Barangkali ada perkara yang menceriakan dia tadi, agakan ibunya.




                                                                 *        *       *




Gelaran 'budak rock' diperolehi Aniq ketika dia di bangku sekolah lagi. Aniq dikenali oleh rakan-rakan sekolahnya sebagai peminat muzik rock dan hardcore yang 'susah-mati'.


Kumpulan-kumpulan seperti Sweet Charity, Bumiputra Rockers, Metallica, Cromok, Wings, Search, Killswitch Engage, Fozzy, Alter Bridge dan lain-lain sememangnya tersenarai dalam kamus tebal kehidupannya. Setakat lagu Bengang dari kumpulan Mantera, 
selamba saja dia tarik sambil melukis graf ogif soalan statistik bagi subjek Matematik.

Kalau Hari Guru dialah antara yang menjadi penyanyi untuk menghiburkan para guru, kalau Hari Koperasi muka dialah yang pertama yang mahu mencuba nasib bagi pertandingan karaoke, dan lagu-lagu yang didendangkan olehnya? Lagu genre rock.

Pernah sekali kepala Aniq terhantuk pada almari besi dalam kelas kerana asyik 'headbanging' sampai tak sedar kepala dan almari makin dekat. Sudahnya berlekuk almari tersebut. Mujur juga cikgu dan rakan-rakannya tak tahu. 


Perkara yang menarik, Laili juga meminati genre muzik yang sama, cuma Laili meminati Ella dan Aniq lebih cenderung kepada Wings. Persamaan minat ini berjaya menjadi penghubung mereka berdua sehingga mereka menjadi kawan rapat.


Ada masa terluang mereka berbicara mengenai minat mereka, ada masa mereka berbual mengenai kod-kod gitar bagi lagu-lagu kegemaran mereka, biarpun Aniq sentuh tali gitar pun jarang. Paling tak tahan, mereka memasang angan-angan untuk menubuhkan kumpulan muzik dan masuk rancangan The Band Astro Ria, dan angan-angan tinggal angan-angan.


Kenangan manis yang tercipta antara mereka berdua ialah mereka berdua berduet menyanyikan lagu Baldu Biru ketika persembahan Hari Guru ketika di tahun akhir persekolahan yang seterusnya mendapat tepukan yang gemuruh dari para guru dan rakan-rakan.

Ketika itu, Aniq terasa hendak 'dive' saja ke khalayak rakan-rakan dari atas pentas kerana merasa terlalu teruja mendapat tepukan dari orang ramai, namun mengenangkan yang Hari Guru bukannya
parti liar, ditahankan saja kemahuannya tu. Jatuh muka tersembam ke lantai sia-sia saja nanti.

Persahabatan mereka berdua begitu erat, sehingga ada rakan-rakan mereka yang menyangka mereka bercinta atau dalam bahasa Melayu Sarawaknya bergerek. Namun Aniq pantas menafikannya sepertimana yang selalu dilakukan artis-artis dalam rancangan Melodi. Manakan tidak, mereka berdua berada di dalam kelas yang sama, dan adakalannya pulang dari sekolah bersama.

Persahabatan erat ini lama-kelamaan mula me
nyemai rasa suka dalam hati sang jejaka. Perwatakan sang gadis yang lembut, ditambah dengan senyuman manis dengan lesung pipit di pipi serta sikapnya yang suka bergurau dan penyantun serta menghormati orang tua amat menawan hati.

Rasa suka ini, yang pada mulanya hanyalah sekadar berasaskan minat pada muzik dan persahabatan biasa telah bercambah menjadi kuntuman kasih dalam hati si jejaka.

Aniq dalam diam jatuh hati pada si gadis, Laili. Namun, perwatakan seorang rockers mesti dikekalkan. Tak bolehlah dia bermain madah-madah cinta awan larat karat tahap 360 darjah takat lebur. Jatuh sahamnya nanti.

Perasaan ini terus tersimpan rapi di dalam peti hati si jejaka, hanya apabila waktunya sesuai barulah kunci akan dicapai untuk membuka mangga yang mengawal peti itu, dan barulah cinta yang terpendam didalamnya akan dipersembahkan dengan penuh takzim di hadapan si gadis.

Penantian ini disulami harapan si jejaka agar si gadis sudi menyambut rasa kasihnya dengan tangan terbuka. Alangkah sakitnya jika cinta yang disemai dan dijaga dengan sepenuh hati selama ini sekadar bertepuk sebelah tangan.

Dan Aniq masih menunggu waktu yang sesuai.....



                                                                     *        *        *



Lamunan terhenti. Dia sedang duduk bersandar di set sofa sambil wajahnya bermandikan mentari pagi Kampung Pungguk. Sedar tidak sedar dia mengelamun agak lama selepas sarapan tadi, sambil terkenangkan zaman persekolahannya.

Tidak mahu membuang masa, Aniq mencapai set joran yang tersimpan di biliknya. Dia mahu pergi memancing di lubuk yang selalu dikunjunginya. Paling tidak ada hasil yang boleh dibawa balik daripada duduk melanguk di rumah menonton televisyen.

Baru sahaja dia menghidupkan motosikalnya, dia terlihat seorang pemuda berjalan pantas memasuki halaman rumahnya. Kelihatan raut wajahnya cemas, sepertinya suatu perkara yang tidak diinginya telah berlaku kepadanya.

"Assalamualaikum Aniq, ayah kau ada kat rumah tak?" Pemuda tadi memberi salam.

"Waalaikumsalam, ada ada. Kenapa dengan kau ni Asrul? Macam kena sergah dek hantu je" Tanya Aniq yang agak hairan melihat riak wajah pemuda tersebut.

"Aku pun tak tahulah nak cerita dekat kau macam mana, tapi...tapi..." Suara Asrul bagaikan tersekat di kerongkong, lidahnya seakan tidak mampu meneruskan bicara.

"Tak, cuba kau rileks, kau cerita satu-satu" Aniq cuba menenangkan Asrul.

"Err...err...tad...tad...tadi aku pergi dekat pondok dekat kebuh ayah kau nak ambik barang. Tapi...tapi..." Asrul gagal meneruskan bicara.

"Kenapa? Ada apa-apa jadi ke?"

"Susah aku nak ceritakan...kau kena tengok sendiri, panggil ayah kau kita pergi kebun dia..." Asrul bagaikan hilang punca untuk menerangkan perkara sebenar kepada
Aniq.

Melihatkan kekalutan yang melanda Asrul, Aniq segera memanggil ayahnya, Pak Sham yang sedang membaca suratkhabar sambil menikmati secawan kopi. Ayahnya juga hairan melihatkan gelagat Asrul.

Mereka bertiga kemudiannya mengatur langkah ke kebun milik ayah Aniq, sebuah kebun sederhana besar yang menempatkan pokok-pokok durian dan sebatang tali air. Sepanjang perjalanan, Asrul sekadar mengunci mulut, meskipun Aniq dan Pak Sham mahu melontarkan ribuan persoalan kepada pemuda itu.

Setibanya di situ, Asrul mengacungkan jari telunjuknya di atas sebatang pokok yang berada berhampiran pondok di kebun itu.

Apabila mereka mendongak, kelihatan bangkai 2 ekor lembu dalam keadaan yang mengerikan berada di atas dahan pohon durian itu. Darah merah yang masih segar mengalir bagaikan air dari bangkai itu ke atas bumbung pondok, bagaikan babak ngeri dalam filem seram.

Lembu-lembu tersebut, ada yang kehilangan kepala, kulit dan daging terkoyak bagaikan dicarik-carik, tulang-temulang yang patah terkeluar dari sendi dan mengunjur keluar dari kulit, kesan gigitan yang begitu banyak sepertinya telah diratah oleh entiti yang tidak diketahui. Usus haiwan malang itu terburai dan tergantung-gantung di dahan pokok, begitu juga dengan isi perutnya yang turut membasahi bumbung pondok.

Pak Sham hampir pengsan melihat pemandangan yang amat mengerikan itu. Hanya bacaan istighfar yang terbit dari mulutnya, cepat-cepat Aniq menyambut ayahnya yang terhuyung-hayang seperti mahu tumbang. Aniq sendiri bagaikan bisu seketika, bulu romanya meremang melihatkan panorama ngeri itu. Peluh bercampur perasaan seram dan takut mula terbit.

 Bagaimana...bagaimana....bagaimana haiwan malang itu boleh diangkut ke atas pokok? Entiti apakah yang menyebabkan haiwan malang itu diratah sedemikian rupa? Apakah ia?

Jika inilah gayanya, ini bukan perbuatan binatang buas...

Ini adalah perbuatan seekor syaitan!