Thursday, May 29, 2014

Epilog : Amuk Syaitan Jersey

Seorang remaja berjalan di dalam sebuah kebun getah. Pada waktu subuh itu, dia meredah kesejukan subuh bersama peralatan menorehnya. Kebetulan ketika itu adalah cuti semester, maka waktu  cuti itu dimanfaatkan olehnya untuk mencari duit poket.

Beberapa meter sebelum tiba di bangsal, hidungnya terhidu bau busuk yang amat menusuk. Lampu suluh di tangannya dihala ke pelbagai arah untuk mencari punca bau busuk itu. Kemudian, suluhannya terhenti pada bangkai seekor lembu yang sudah reput dan berulat.


 Kepala lembu itu hilang, sebahagian tubuh lembu malang itu habis diratah si pembuat angkara. Kulitnya dipenuhi luka-luka seperti dicakar.


Melihat pemandangan tersebut, remaja itu terkejut. Tangannya mula menggigil. Lampu suluh digenggamannya nyaris terlepas. Siapa yang membuat onar sebegini? Harimau? Tak mungkin. Sepanjang puluhan tahun kampung itu dibuka, belum ada penduduk kampung yang mengadu terjumpa binatang buas. Kalau babi hutan dan monyet tu biasalah.


 Tak apalah, biarlah bangkai itu di situ. Mungkin ia sudah mati lalu dimakan oleh anjing-anjing liar. Fikir remaja itu.


Selesai meletakkan peralatannya di bangsal, dia memulakan kerja. Baru sahaja pisau diletakkan di kulit pokok getah, satu ringkikan kuat dan nyaring berkumandang dari sebalik hutan berdekatan.


Terkejut remaja itu mendengar suara itu. Segera dia menoleh ke arah hutan. Lampu suluh di bangsalnya dicapai lalu perlahan-lahan dia meninjau semak-semak tebal hutan itu.


Baru beberapa langkah, satu objek yang tidak diketahui melayang dari arah semak lalu jatuh betul-betul dihadapan remaja itu. Setelah disuluh dan diperhati, ia adalah kepala seekor lembu. Bahagian hidung dan mulut lembu itu hancur, bagaikan ia telah dipecahkan.


Kali ini, kejutan itu membuatkan remaja itu terus terduduk. Gentar. Jantungnya mula berdegup kencang. Melihatkan dirinya sedang berdepan situasi aneh sebegitu, segera dia bangkit lalu membuka langkah seribu meninggalkan kebun getah. Segala peralatan termasuk pisau menoreh ditinggalkan begitu sahaja. Yang penting dirinya mesti diselamatkan dulu.


Seketika kemudian, sebuah lembaga hitam yang besar melangkah keluar dari semak-semak tebal hutan. Ia kemudian terbang tinggi ke udara tatkala suria pagi mula menjengah.


No comments:

Post a Comment